Custom Ads

Trending

Beberapa Penguji Awal HongMeng OS Berkongsi Pengalaman Menggunakannya – Lebih Pantas Berbanding Android


Huawei kini boleh kembali berurus niaga bersama syarikat di A.S, namun ia tidak membuatkan mereka untuk terus menamatkan pembangunan HongMeng OS. Malah, mereka masih aktif mengujinya sebagai persediaan untuk penawaran sistem operasi alternatif. Pada saat ini, Huawei telah menjemput beberapa individu terpilih untuk menguji HongMeng OS secara tertutup.
Menerusi laporan daripada laman Huawei Central, beberapa individu telah tampil untuk berkongsi pengalaman mereka ketika menguji HongMengOS ini. Menurut salah seorang penguji awal sistem operasi ini, HongMeng OS membawa antaramuka yang sedikit berlainan berbanding EMUI pada saat ini.
Ia hadir dengan rekaan ikon baru, kesan animasi yang lebih menarik, dan mempunyai talam notifikasi serba baru. Ia turut menyakan paparan bootbaru, paparan skrin kunci yang lebih menawan, selain membolehkan fungsi Always on Display diubah dengan sejumlah pilihan kustomasi.
Elemen bunyi pada HongMeng OS juga telah diubah, yang mana kini kedengaran lebih menarik berbanding bunyi di EMUI. Tampilan kameranya juga telah ditambah baik, yang kini lebih ringkas dan mudah untuk digunakan oleh majoriti pengguna.
Dari segi prestasi, penguji awal HongMeng OS mendapati ia jauh lebih lancar, berpadanan dengan laporan yang mengatakan ia 60% lebih pantas berbanding Android versi standard. Cuma pada peringkat awal ini, beberapa elemen antaramuka HongMeng OS masih tidak dapat diakses kerana ia masih di dalam pembangunan.
Namun begitu, individu yang terlibat dalam pengujian awal HongMeng OS dilihat enggan berkongsi mengenai peranti yang digunakan. Mereka juga tidak dibenarkan untuk mengambil gambar sistem operasi ini, sekaligus menyukarkan orang ramai untuk membayangkan antaramuka awalnya. Ia juga tidak diketahui sama ada ia dibina berasaskan Android atau melalui sistem operasi Sailfish yang diolah.
Huawei mungkin akan berkongsi beberapa info mengenai HongMeng OS pada acara Huawei Global Developers Conference (HDC) yang bakal berlangsung pada 9-11 Ogos 2019. Ia dilaporkan akan dilancarkan bersama-sama Huawei Mate 30, namun ia hanya sekadar ura-ura buat masa ini.

No comments