Tanpa disangka, perkenalan itu, kemudian bertukar menjadi bibit-bibit cinta yang mendorong Mohd. Norfaizad terbang buat kali pertama ke Osaka, untuk bertemu gadis berusia 25 tahun itu.
Sejak daripada pertemuan tersebut, jurutera komputer ini menjalin cinta jarak jauh dengan gadis pemilik nama Anna Farhana Tanaka yang sentiasa setia menanti insan kesayangannya itu.
Dua tahun kemudian, Anna Farhana memeluk Islam di negara kelahirannya selepas Mohd. Norfaizad bersungguh-sungguh membimbingnya untuk dijadikan suri hati.



NORFAIZAD Farhan Nor Hashimi selamat dinikahkan bersama Anna Farhana Tanaka dalam satu majlis ringkas di Masjid Al-Arifin Padang, Katong, Kangar, Perlis, hari ini. - UTUSAN ONLINE

Hari ini, pastinya menjadi menjadi detik paling indah buat pasangan itu apabila mereka selamat diijabkabulkan dalam satu majlis ringkas di Masjid Al-Arifin Padang Katong di sini.
Anna Farhana yang anggun bertudung dengan persalinan pengantin berwarna biru kelihatan mengalirkan air mata saat bersalam dengan suaminya selepas majlis akad nikah itu.
Manakan tidak jodoh akhirnya ‘bersama’ mereka meskipun menghadapi pelbagai dugaan berikutan berlainan negara dan budaya.
Mohd. Norfaizad ketika ditemui berkata, pada mulanya mereka hanya berhubung melalui Facebook dan semakin hari hubungan mereka semakin rapat.
Pada mulanya, Mohd. Norfaizad bimbang jika budaya dan agama menjadi penghalang cinta mereka namun mujurlah dia mendapat restu keluarga Anna Farhana.
“Selepas itu, saya meminta ayah saya membeli tiket kapal terbang untuk ke Osaka, Jepun bagi bertemu Anna Farhana. Malah, itu kali pertama saya ke luar negara semata-mata ingin bertemu insan tersayang. Alhamdulilah, perjalanan cinta kami lancar yang berakhir di jenjang pelamin,” kata anak sulung daripada tujuh beradik itu.
Anna Farhana pula berkata, dia agak gementar ketika suaminya itu meluahkan rasa cinta dan ingin bertemu.
Namun, katanya, setelah lama berkenalan, dia menjadi tenang sehingga mendorongnya untuk mendalami dan memeluk agama Islam.
“Saya tertarik dengan Norfaizad apabila melihat kesungguhannya di dalam hubungan. Saya akan menetap di sini bersama suami selepas ini,” katanya yang berasal dari Nara, Jepun.
Sementara itu, bapa Norfaizad, Norhashimi Ismail, 57, berkata, keluarga menantunya tersebut sudah beberapa kali datang ke Malaysia bagi membincangkan mengenai soal perkahwinan. - UTUSAN ONLINE