Custom Ads

Trending

Rumah terbakar: Wanita berpantang selamatkan bayi



KOTA BHARU: Seorang wanita sedang berpantang, mendukung bayinya berusia 33 hari untuk lari menyelamatkan diri bersama enam lagi anak dalam kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Kampung Pengkalan Nangka, di sini, malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7.20 malam ketika Noor Afiza Yusof, 40, bersama suami, Che Abdullah Che Su, 54, dan enam anak mereka berada di dapur untuk menunggu waktu berbuka puasa.
Sebelum itu, Noor Afiza berkata, beliau terdengar rengekan bayinya, Nor Aira Qairina yang berada sendirian di ruang tamu.
“Saya pergi mengambil dan membawanya ke dapur sebelum ternampak kepulan asap tebal di dalam rumah. Kami terus berlari menyelamatkan diri melalui pintu di bahagian dapur.
“Suami kemudian masuk semula ke dalam rumah dan terkejut apabila melihat sebahagian dinding di bilik tidur salah seorang anak kami sedang terbakar,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Dalam insiden itu, rumah separuh kekal terbabit hangus dijilat api, selain masing-masing sebuah Proton Waja, Nissan Sentra dan motosikal jenis Yamaha Lagenda turut musnah, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Malah, Noor Afiza berkata, barang kemas dan wang RM4,000, termasuk untuk perbelanjaan membeli persiapan Hari Raya, juga hangus.
“Saya menganggap ini ujian Allah untuk kami sekeluarga, apatah lagi hanya tinggal beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri,” katanya yang kini menumpang di rumah kakak beliau di Pantai Cahaya Bulan (PCB).
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, Pegawai Bomba Kanan II Samsuddin Mat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.26 malam sebelum 17 anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik sahaja tiba, kami mendapati sebuah rumah separuh kekal sudah 90 peratus hangus terbakar, selain dua kereta, iaitu Proton Waja dan Nissan Sentra.
“Api berjaya dikawal pada jam 7.35 malam dan kerja pemadaman tamat pada jam 8.10 malam,” katanya.

No comments