Custom Ads

Trending

Ozil tanggung kos pembedahan 1,000 kanak-kanak sempena perkahwinan


WALAUPUN Arsenal berdepan detik sedih selepas terlepas aksi Liga Juara-Juara buat musim ketiga berturut-turut pada tahun ini, namun pemainnya, Mesut Ozil membuktikan bahawa bola sepak bukan segala-galanya.

Pemain berdarah Turki itu memberi sinar harapan kepada 1,000 kanak-kanak apabila mengumumkan bakal membiayai rawatan kanak-kanak yang memerlukan.


Menurut laporan media antarabangsa, bintang bola sepak berusia 30 tahun itu merancang membuat projek amal itu bersama tunangnya, Amine Gulse, sempena perkahwinan mereka di Istanbul pada Jumaat waktu tempatan.

"Ramai peminat, saudara mara dan rakan-rakan bertanya mengenai hasrat kami menjelang majlis perkahwinan (kami) esok. Sebagai pemain bola sepak profesional, saya bertuah dan berada pada kedudukan yang istimewa.


"Bagaimanapun, saya menjemput sesiapa sahaja yang bersedia dan boleh membantu menyokong projek khas ini yang sangat dekat dengan hati kami, di mana kami akan lakukan bersama dengan BigShoe," katanya menerusi kemaskini di laman Instagram, pada Khamis.



Jelas Ozil, ia melibatkan pembedahan kanak-kanak yang memerlukan rawatan selain menambah akan berasa lebih gembira sekiranya dapat membantu lebih ramai orang di seluruh dunia.

BigShoe bekerjasama dengan doktor dari Jeman dan Switzerland untuk menyediakan pembedahan yang bakal mengubah nasib kanak-kanak di seluruh dunia.

Jelas Ozil, beliau telah berkolaborasi bersama kumpulan itu dengan melaksanakan pembedahan di Brazil, Afrika dan Rusia pada Piala Dunia, baru-baru ini.

"Sekarang kami mahu bergerak ke peringkat seterusnya dan membantu kanak-kanak di seluruh dunia," ujarnya.

Ozil dan Amine, 25 tahun, yang merupakan bekas ratu cantik Turki mengumumkan pertunangan mereka pada Jun 2018.

No comments