Custom Ads

Trending

Beratnya tak bayar hutang sehingga Nabi enggan solat jenazah si mati! Ketahui 10 perkara tentang orang berhutang



PADA minggu lepas kita telah bincangkan kewajipan kita perlu membayar hutang termasuk hutang dengan Allah. 

Kategori kedua ialah berhutang dengan manusia. Hutang dalam Islam adalah perkara yang sangat serius sehingga kita akan dihalang daripada memasuki syurga terutama apabila kita tidak membayar balik hutang samada kerana tidak mampu atau enggan atau disebabkan masalah-masalah lain. 

Mari kita teliti beberapa hadis nabi SAW tentang orang yang tidak membayar hutang.

Dalam satu hadis nabi SAW bersabda; "Akan diampunkan segala dosa orang yang mati syahid kecuali orang yang berhutang."


Kegagalan membayar hutang boleh menyebabkan pergaduhan. Gambar hiasan.

Dalam hadis yang lain nabi SAW bersabda; "Demi jiwaku dalam kekuasaan Allah, sekiranya seorang lelaki terbunuh pada jalan Allah (mati syahid), dan sekiranya Allah menghidupkan dia semula, kemudian dia terbunuh pada jalan Allah lagi dan sekiranya Allah menghidupkan dia semula kemudian dia terbunuh pada jalan Allah sekali lagi, tetapi dia meninggalkan hutang maka dia tidak akan masuk syurga sehinggalah hutangnya diselesaikan."

Baginda nabi Muhammad SAW dalam satu hadis yang panjang mafhumnya, apabila diminta solatkan jenazah baginda SAW bertanya kepada sahabat: Jenazah ada hutang tak? Sahabat menjawab: Tidak ada ya Rasulullah, maka nabi SAW solatkan jenazah tersebut. 

Apabila datang jenazah yang lain nabi SAW bertanya ada hutang tak? Sahabat menjawab: Ada ya Rasulullah, Rasulullah bertanya lagi, ada harta tak? Sahabat menjawab: Ada harta yang ditinggalkan sebanyak 3 dinar, maka nabi SAW solatkan jenazah tersebut.

Maka berkata Abu Qattadah: Ya Rasulullah! hutang si mati saya akan tanggung, maka nabi SAW akhirnya solatkan jenazah tersebut.

Kemudian datang jenazah yang ketiga untuk disolatkan, nabi SAW bertanya adakah dia meninggalkan sesuatu harta, mereka menjawab tidak ada, nabi SAW bertanya ada hutang tak?, mereka menjawab ada hutang sebanyak 3 dinar, maka jawab nabi SAW: kamu solatkanlah jenazah sahabat kamu (dan nabi tidak akan solatkan jenazah tersebut). 

Maka berkata Abu Qattadah: Ya Rasulullah! hutang si mati saya akan tanggung, maka nabi SAW akhirnya solatkan jenazah tersebut.

Oleh kerana beratnya kesan akibat tidak dapat menyelesaikan pembayaran hutang, maka mari kita teliti beberapa permasalahan hutang dan apa prinsip Islam secara ringkas seperti persoalan berikut:

1. Kita wajib bayar hutang ke walaupun pemberi hutang dah meninggal?
Jawapan: Wajib bayar kepada pewarisnya.

2. Saya dah cari pemberi hutang tapi tak jumpa?
Jawapan: Wajib cari pemberi hutang dengan segala cara sampai putus asa.

3. Dah cari sampai putus asa, tapi tidak berjumpa juga, masih kena bayar ke?
Jawapan: Wajib sedekahkan kepada asnaf seperti fakir miskin jumlah hutang tersebut dengan cara niatkan untuk bayar hutang kepada pemberi hutang tersebut.

4. Tiba-tiba, selepas sedekah ganti bayaran hutang tersebut, datang pemberi hutang pula, kena bayar hutang lagi tak?
Jawapan: Wajib bayar lagi kepada pemberi hutang tersebut dan apa yang telah disedekahkan, Allah beri pahala sedekah tersebut.

5. 20 tahun dulu saya beri hutang RM50 sekarang dibayar RM50 jugak ke rugi lah?
Hutang hendaklah dibayar dalam nilai semasa. Contohnya hutang sebanyak RM50 dulu berapa nilai tersebut pada masa sekarang.

6. Jiran saya selalu berhutang dengan saya tapi saya takut dia terasa hati kalau saya minta.
Jawapan: Tidak salah dan tidak berdosa apabila kita minta hutang penghutang terasa hati. Tetapi jangan keji dan maki, minta dengan cara yang baik, kalau dia tak mampu bayar kita disarankan bagi tempoh lanjutan, atau nabi SAW bersabda sedekahkan hutang tersebut lebih baik bagi kita. Allah akan berikan 18 pahala bagi orang yang beri hutang dan 10 pahala bagi yang sedekahkan. Maka kita akan dapat 28 pahala.

7. Penghutang bayar hutang tetapi halalkah sumber duitnya?
Jawapan: Kita tidak diwajibkan untuk menyelidik sumber halal atau haram.

8. Hutang saya sebagai isteri saya wajib bayar sendiri ke?
Jawapan: Hutang isteri menjadi tanghungjawab suami membayarnya. Sebab itu isteri kena isytiharkan kepada suami.

9. Saya tak ingat jumlah hutang?
Jawpaan: Ambil jumlah yang diyakini.

10. Saya tak ingat ada hutang ke tak?
Jawapan: Ambil pendirian yang paling kita yakini.
Maka atas alasan tersebut, kita sewajarnya mengisytiharkan hutang kita samada hutang dengan Allah atau hutang kita dengan manusia. Takut-takut apabila kita mati, walaupun dalam keadaan kita meninggalkan harta tetapi pewaris kita tidak mengetahui bahawa kita ada hutang yang wajib dilunaskan. 

Banyak lagi permasalahan hutang, kalau ada soalan tuan puan boleh e-melkan ke sham.harc@gmail.com Waallahua'lam

*** Ustaz Shams ialah pensyarah di sebuah universiti.

No comments