Custom Ads

Trending

[UPDATE] Belum sah mayat pemandu Grab



KEADAAN mayat yang mulai kembung dan terjejas ketika ditemui di Kampung Shahbandar di Tuaran, menyukarkan polis untuk mengenal pasti identiti mangsa.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, setakat ini belum ada pengesahan daripada ahli keluarga bahawa mayat yang ditemui itu adalah pemandu kenderaan perkhidmatan e-hailing, Grab yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.
“Mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk siasatan lanjut.
“Kita minta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi kerana siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti identiti mayat terbabit,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti mayat terbabit.
“Polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh mengenai penemuan mayat itu sama ada ia adalah pemandu grab atau sebaliknya.
“Ia memerlukan masa untuk pengecaman sama ada mayat itu adalah individu yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu disebabkan keadaan mayat yang mulai kembung dan terjejas,” katanya.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
Sejak kelmarin, tular di media sosial mengenai seorang pemandu Grab, Mohd Hanafiee Jaafar, 27, dilaporkan gagal dihubungi ahli keluarga dan rakannya sejak Jumaat lalu.
Pada 12.30 tengah malam, Ahad lalu, kereta dipercayai milik Mohd Hanafiee ditemui di kawasan tapak bazar Ramadan, Indah Permai, Sepanggar, dan pemeriksaan mendapati ada kesan darah di bahagian stereng, brek tangan, pintu depan dan cermin.
Malam tadi, beberapa status dimuat naik di Facebook dan Tweet dipercayai ahli keluarga Mohd Hanafiee memaklumkan mayat yang ditemui di Kampung Shahbandar, adalah keluarga mereka yang dilaporkan hilang, Jumaat lalu.

No comments