Custom Ads

Trending

Tak Telan Dek Zaman, Ini 10 Jenis Kuih Raya ‘Wajib’ Ada Setiap Kali Raya!



Raya dah tak lama saja lagi kan? Kalau kita lihat sudah ramai peniaga yang mula menjual pelbagai kuih raya, sampai rambang mata nak beli yang mana. Betul tak?
Bagi anda yang masih mencari jenis kuih untuk diisi dalam balang raya nanti, apa kata anda lihat senarai kuih raya yang ‘wajib’ ada setiap tahun ini. Memang tak berenti kalau makan!

1. Almond London

Almond London merupakan biskut rangup yang disalut bersama coklat berintikan badam. Rasanya yang penuh dengan coklat pasti akan memukau citarasa sesiapa sahaja.

2. Tart Nanas

Bagi kuih tart nanas pula, ia diperbuat daripada tepung dan jem. Terdapat dua jenis tart nanas iaitu tart gulung dan bunga. Biasanya, tepung adunan yang digunakan  adalah tawar disebabkan intinya yang manis iaitu daripada buah nanas. Bila makan terus cair dalam mulut. Sedap!

3. Cornflakes Madu

Siapa yang suka kuih ini, boleh geng dengan penulis! Biskut Cornflakes Madu ini antara kuih raya yang paling mudah, cepat dan sedap. Ia hanya menggunakan Cornflakes dan madu sahaja sebagai bahan asas.

4. Popia Simpul

Teksturnya yang rangup berintikan serunding pastinya akan buat anda leka bila menikmatinya. Cara membuatnya juga mudah iaitu menggunakan kulit popiah dan inti serunding sahaja. Apa yang penting anda kena tahu cara untuk menyimpulkannya.

5. Semprit

Sama seperti kuih yang lain, semprit juga antara kuih tradisional yang pasti dicari ketika musim perayaan. Bila makan mampu mengimbau zaman kanak-kanak dahulu kan? Kuih ini diperbuat daripada telur, tepung gandum, tepung jagung dan tepung kastard yang digaul bersama mentega. Paling penting kena ada acuan semprit ya, barulah jadi!

6. Biskut Suji

Biskut suji juga antara kuih tradisional yang popular ketika hari raya. Bahan utama bagi biskut ini adalah tepung, minyak sapi dan susu tepung. Sekali makan, memang tak cukup!

7. Sarang Semut

Kuih sarang semut? Kenapa agaknya dipanggil macam itu ya? Orang dulu-dulu beri nama kuih ini kerana tepung yang telah siap diuli perlu diparut, mungkin ‘longgokan’ tepung yang diisi ke dalam acuan kuih itu seperti sarang semut. Kuih ini diperbuat daripada tepung gandum, tepung jagung, tepung kastard berserta mentega.

8. Biskut Mama Carey

Biskut jenis ini bukan sahaja sedap tapi cantik bila dipandang. Dihiasi dengan gula ising berserta kerangupan biskutnya, ia mampu menarik citarasa sesiapa sahaja.

8. Kuih Ros

Kuih ros atau kuih goyang ini mempunyai tekstur yang rangup rasanya sedikit manis. Sebenarnya, banyak nama yang digunakan untuk kuih ini seperti kuih bunga durian dan kuih sarang tebuan. Ini kerana terdapat perbezaan pada acuan yang digunakan.

9. Rempeyek

Rasanya anda semua dah tahu bagaimana rasa kuih rempeyek kacang tanah ini kan? Teksturnya yang rangup berserta kepingan ikan bilis pastinya sesuai dimakan oleh sesiapa sahaja. Tapi perlu diingatkan, cara penyimpanannya perlulah tertutup rapat, kalau tidak ia mudah lemau.

10. Popia Nestum

Bila sebut sahaja popia, pasti anda dah terbayang kerangupannya kan? Bagi popia nestum ini ianya sangat mudah disediakan dengan hanya digaul dengan nestum sahaja. Rasanya yang lemak manis pasti membuatkan anda tak puas makan sebalang.

No comments