Custom Ads

Trending

Tabah galas tugas ibu



USIANYA baru sembilan tahun, namun kanak-kanak ini sudah menggalas tugas seperti seorang suri rumah.
Anak sulung kepada pasangan Mohd Ridzuan Che Mat, 32, dan Siti Khodijah Shaari, 30, ini sedikitpun tidak kekok melakukan kerja rumah, seperti memasak dan menjaga adiknya.
Tambahan pula, Nur Syasya Balqis yang menetap bersama keluarga di Kampung Panjang, Bukit Jenun, Pendang perlu melakukan semua itu bagi membantu ibunya yang sakit.
Siti Khodijah berkata, Nur Syasya Balqis diajar memasak sejak tahun lalu berikutan keadaan dirinya yang lemah akibat tekanan darah rendah.
“Saya mengalami tumpah darah tiga tahun lalu, namun akibat kesempitan hidup saya tidak mendapatkan rawatan di hospital, selain itu saya juga bimbang untuk meninggalkan anak di rumah jika saya dimasukkan ke wad.
“Suami saya hanya mengambil upah membaiki motosikal, kadangkala ada yang bawa motosikal mereka ke rumah tapi selalunya suami akan keluar baiki motosikal di rumah pemiliknya,” kata ibu kepada tiga orang anak ini.
Bercerita lanjut, Siti Khodijah berkata, dia hanya mampu berdiri dan duduk sekejap sahaja, manakala selebihnya dia akan baring.
Disebabkan itu, katanya, dia perlu mengajar Nur Syasya Balqis atau lebih mesra dipanggil kakak untuk memasak dan menguruskan rumah serta adiknya Nur Syamimi Amani, 5, dan Nuraisha Raina, 3.
“Anak saya sering ponteng sekolah untuk menjaga saya dan adiknya, walaupun dia sangat minat belajar tapi keadaan tidak mengizinkan.
“Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) pun dia ponteng, tambahan pula suami saya tak mampu nak bayar yuran berikutan pendapatannya hanya kira-kira RM400 sebulan.
“Pendapatan itu sekadar cukup untuk membeli barang keperluan, selalu apabila berbuka kami hanya makan nasi dengan ikan haruan yang dipancing suami pada sebelah petang, jika dapat makan sardin ia sudah dikira makanan mewah kami hari itu,” katanya.
Ditanya mengenai persiapan menyambut hari raya, Siti Khodijah berkata, mereka sekeluarga tidak membuat sebarang persiapan mahupun membeli baju raya.
Katanya, dia kini lebih memerlukan bantuan untuk membaik pulih rumah mereka yang sangat daif berikutan sudah reput dimakan anai-anai serta bocor.
Rumah pusaka itu juga tidak mempunyai sebarang perabot dan bilik untuk mereka tidur.
Sementara itu, Nur Syasya Balqis berkata, dia sangat teringin makan ayam goreng sebagai juadah berbuka puasa.
Malah, katanya, dia juga teringin menonton televisyen seperti kanak-kanak lain, terutama kartun Upin Ipin.
“Setiap hari saya akan masa nasi dan goreng ikan haruan, saya juga mahu makan makanan lain tapi saya tahu ibu bapa saya tak mampu,” katanya.
Bagi orang ramai yang ingin membantu keluarga ini, mereka boleh menghubungi Siti Khodijah melalui nombor 017-5042889 atau nombor akaun Bank Rakyat atas nama Mohd Ridzuan (221331081641).

No comments