Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pengarah Urusan Ihsan Perdana, Datuk Dr. Shamsul Anwar Sulaiman ketika memberi keterangan dalam perbicaraan hari ke-20 melibatkan bekas Perdana Menteri itu berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.
Menurut Dr. Shamsul Anwar, beliau melihat reaksi begitu di raut wajah Ahli Parlimen Pekan itu dalam satu pertemuan di kediamannya di Langgak Duta selepas beliau dibebaskan daripada reman.
Saksi pendakwaan ke-37 itu pernah ditahan reman selama lima hari pada tahun 2015 bagi membantu siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Dalam pertemuan itu, saya bercerita tentang tahanan reman dan soal siasat oleh SPRM terhadap saya.
"Beliau kelihatan terkejut dan kecewa selepas mengetahui seseorang memasukkan wang ke akaunnya. Beliau tidak tahu siapa yang masukkan wang itu dan kenapa ia dilakukan melalui syarikat saya (Ihsan Perdana)," katanya ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib ketika pemeriksaan balas.
Saksi turut mengulangi keterangan sama ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi bahawa bekas Presiden UMNO itu benar-benar terkejut selepas mengetahui perkara (transaksi) tersebut.
Biarpun begitu, saksi mengakui Najib tidak memintanya membuat sebarang laporan polis atau kepada SPRM berhubung perkara tersebut.
Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC. - UTUSAN ONLINE.