Keputusan dibuat dengan rela hati itu diambil Samal Arizon Alias, 34, dan adik bongsunya, Sulaiman, 26, selepas Samsiah Md. Saad, 68, disahkan lumpuh keseluruhan badan selepas diserang strok pada 2011.
Samal Arizon berhenti kerja sejak sembilan tahun lalu manakala Sulaiman pula meletak jawatan di sebuah kilang sejak dua tahun lalu.
“Kehidupan kami berubah sekelip mata selepas kematian bapa, Alias Ariffin kira-kira sembilan tahun lalu apabila ibu mengalami strok dan tidak mampu untuk menguruskan dirinya.
“Kami perlu memandikan ibu, menukar lampin sehinggalah menyuap makanan setiap hari,” kata Samal Arizon ketika ditemui di rumahnya di Pondok Titi Besi, Lorong Haji Othman, Kepala Batas, hari ini.
Tambah anak ketiga daripada empat beradik yang belum berkahwin itu, mereka kini hanya bergantung kepada wang pencen bapa yang pernah bertugas sebagai polis sebanyak RM1,500 sebulan.
“Kira-kira RM1,000 daripadanya saya gunakan untuk membeli kelengkapan seperti lampin pakai buang, tiub plastik kencing dan keperluan perubatan ibu.
“Manakala, lebihannya saya gunakan untuk membeli makanan dan barang keperluan termasuk membayar sewa rumah sebanyak RM100 sebulan, nasib baik tuan rumah memahami keadaan kami dan tidak pernah menaikkan harga sewa,” katanya.
Ujarnya, ibu mereka turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan yang dapat menampung keperluan harian, namun jumlah itu masih tidak mencukupi bagi menggantikan tilam dan alas khas untuk Samsiah.
Kata Samal Arizon lagi, mereka kini turut berdepan kesukaran untuk mengeluarkan wang pencen bapanya kerana terpaksa membawa ibu ke bank untuk membolehkan pihak bank mendapatkan cop jari.
“Bukan mudah nak angkat ibu keluar masuk kereta dengan keadaan lumpuh keseluruhan badan dan keadaan fizikalnya yang agak besar tetapi saya terpaksa akur dengan prosedur bank berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang tampil menghulurkan bantuan makanan asas serta wang tunai kepada keluarga itu akan turut berbincang dengan pihak bank bagi memudahkan pengeluaran wang pencen tersebut.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menghubungi Samal Arizon di talian 0111-3219586 atau menerusi akaun bersama bank BSN bernombor 0200241000184007 atas nama Samal Arizon dan Samsiah. - UTUSAN ONLINE