Custom Ads

Trending

Sanggup cuti tanpa gaji untuk jaga ibu

MACHANG: Demi kasih terhadap ibu, seorang kerani akaun sanggup mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga ibunya yang terlantar dalam keadaan separuh sedar selepas terbabit kemalangan sejak lebih setahun lalu.
Bagi Nur Farah Shakylla Ramli, 23, dia mempunyai tanggungjawab lebih besar daripada bekerja iaitu menjaga ‘syurganya’ yang kini terlantar sakit dan memerlukan perhatian.
Nur Farah Shakylla berkata, dia sempat bekerja selama dua bulan di syarikat kontraktor di Kuala Lumpur sebelum ibunya, Noraini Abu Seman, 59, terbabit dalam kemalangan pada Disember 2017.
“Selepas melihat keadaan ibu yang terlantar tanpa upaya, saya sedih dan mengambil keputusan untuk berhenti, namun majikan memberi cuti tanpa gaji selama mana tempoh diperlukan untuk menjaga ibu.
“Pada masa sama, saya juga mahu membantu ayah, Ramli Che Ngah, 65, yang bekerja sebagai buruh untuk menguruskan keperluan ibu kerana ayah mempunyai penyakit darah tinggi dan memerlukan rehat yang cukup.
“Walaupun ada adik beradik lain, biarlah saya yang berkorban untuk menjaga ibu kerana abang dan kakak ada yang sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungjawab masing-masing,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Simpul Belubang di sini.
Dua dua adik kembarnya, masing-masing menuntut di institut swasta dan belajar di sekolah menengah.
Menceritakan semula kemalangan itu, Nur Farah Shakylla berkata, ibunya terbabit dalam kemalangan selepas motosikal yang ditunggang terbabas ketika dalam perjalanan pulang menghantar bapanya ke tempat kerja yang terletak satu kilometer dari rumah.
Anak keenam daripada sembilan beradik itu berkata, akibat kemalangan itu, ibunya mengalami pendarahan dalam kepala dan doktor terpaksa melakukan pembedahan untuk membuang sedikit tempurung kepala di bahagian kanan bagi mengelakkan jangkitan kuman.
“Selepas kemalangan itu, ibu tidak lagi boleh bercakap dan hanya boleh menggerakkan sedikit jari sebelah tangan kiri, selain menggunakan bahasa tubuh apabila dia berasa tidak selesa atau sakit di mana-mana bahagian anggota badan.
“Selama sebulan ibu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan tiga bulan selepas itu dipindahkan ke wad biasa.
“Sebelum dibenarkan pulang ke rumah, ibu dirujuk ke Hospital Machang bagi memastikan kesihatannya berada di tahap memuaskan,” katanya yang mengharapkan ibunya kembali sihat dan pulih seperti sedia kala.
Katanya, setiap bulan mereka sekeluarga memerlukan sekurang-kurangnya RM1,200 untuk membeli susu sahaja, selain membeli lampin pakai buang, ubat-ubatan dan pengangkutan ulang alik ke hospital setiap kali temujanji di HUSM.
“Wang bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 digunakan untuk membeli keperluan ibu dan dalam masa sama abang serta kakak juga ada menghantar wang belanja untuk meringankan kos perbelanjaan ibu.
“Ibu perlu diberi minum susu lima kali sehari iaitu setiap empat jam sekali melalui tiub yang dipasang di hidung dan setin susu yang berharga RM118, hanya bertahan untuk tiga hari,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun CIMB, 7054441521, atas nama Nur Farah Shakylla Ramli atau boleh menghubunginya di talian 014-2919860.

No comments