Custom Ads

Trending

Padah guna pengecas telefon tiruan, lelaki maut akibat renjatan elektrik

Kritsada Supol ditemui mati di rumah sewanya selepas terkena renjatan elektrik semasa mengecas telefon menggunakan kabel tiruan. -Foto Mirror

TELEFON bimbit sememangnya menjadi satu keperluan pada masa kini. Namun, jika anda sering menggunakan telefon ketika ia dicas, anda mungkin berisiko ditimpa kecelakaan.

Insiden peranti itu meletup ketika sedang dicas bukan perkara baharu. Malah ada yang membabitkan kecederaan kepada pengguna hingga membawa kepada kematian.


Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan kes yang dilaporkan, pengecas telefon bimbit tiruan dilapor sebagai antara punca utama kemalangan.

Memetik laporan portal berita Mirror UK baru-baru ini, seorang lelaki di Chonburi, Thailand maut akibat kejutan elektrik ketika sedang mengecas telefon bimbit sambil memakai fon telinga.

Kritsada Supol, 24, ditemui mati di rumah sewanya dipercayai ketika mengecas telefon menggunakan kabel tiruan yang disambungkan ke plug tambahan.



Kejadian itu dilaporkan pemilik rumah sewa itu selepas melawat bilik Kritsada pada pagi Ahad lalu dan ternampak Kritsada terbaring di atas tilam dengan kesan terbakar di telinganya.

Polis Thailand percaya kejadian berpunca daripada penggunaan pengecas telefon berkualiti rendah yang menyebabkan letupan dan mengakibatkan mangsa maut.

“Orang ramai boleh terdedah dengan bahaya jika memakai pengecas murah yang dihasilkan oleh pengilang yang tidak mempunyai kelulusan.



“Mayat mangsa yang terkena renjatan elektrik itu akan dibedah siasat bagi memastikan punca sebenar kematian mangsa,” kata polis.

Hujung tahun lalu, satu kejadian yang hampir sama berlaku di dalam negara.

Seorang remaja berusia 16 tahun di Rembau, Negeri Sembilan meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya.

Mohd Aidi Azzhar Zahrin dikatakan sedang memakai fon telinga ketika insiden berlaku.

Bertitik-tolak daripada kejadian yang berlaku ini, pengguna seharusnya mengambil iktibar bagi mengelak insiden sama berulang.



Tiada jaminan bahawa penggunaan pengecas tulen tidak akan menyebabkan letupan atau renjatan. Malah, pengguna disaran agar mengelak terus daripada menggunakan telefon bimbit ketika ia sedang dicas bagi memastikan keselamatan.

No comments