Custom Ads

Trending

Mayat Abdul Bari ditemui

ABDUL Bari Asyraf Mohd, 31, yang hilang selepas membantu menyelamatkan lima sekeluarga dalam insiden pacuan empat roda terjunam ke muara Sungai Terengganu, dekat Pulau Warisan, Kuala Terengganu, kelmarin, ditemui lemas, pagi ini.
Mayat mangsa ditemui di kawasan kuala sungai oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan orang awam jam 7.23 pagi ini, pada jarak 2.5 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai lemas.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung dan dinaikkan sebelum dibuat pengecaman oleh ahli keluarga mangsa.


“Mayat diserahkan kepada polis jam 7.50 pagi untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam kejadian itu, Abdul Bari Asyraf yang sedang memancing terjun ke sungai bagi menyelamatkan lima mangsa yang berada dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm yang meluncur sebelum terjunam ke sungai.
Bagaimanapun, Abdul Bari Asyraf dikatakan mengalami kejang otot sebelum kelibatnya hilang di permukaan air.
BAPA kepada Abdul Bari Asyraf, Mohd Mustafa, 66, melahirkan rasa syukur apabila mayat anak lelakinya yang lemas di Sungai Terengganu berhampiran Pulau Warisan, Kuala Terengganu, ditemui hari ini.
Mangsa ditemui dalam keadaan terapung di Kuala Tanjung berhampiran muara sungai jam 7.23 pagi ini oleh anggota bomba dan penyelamat serta orang awam.
Mohd dalam keadaan sugul tetapi tenang sebaik tiba di perkarangan Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu jam 8.45 pagi ini.


"Alhamdulillah...," katanya sebaik disapa wartawan Harian Metro.
Difahamkan, jenazah Allahyarham Abdul Bari Asyraf akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Merbau selepas solat Zohor.
Dalam kejadian itu, Abdul Bari Asyraf lemas apabila niat murninya membantu menyelamatkan lima individu yang hampir lemas di sungai berkenaan gagal apabila dia hilang dari permukaan air.
Dalam usahanya membantu, dia sempat menyelamatkan seorang daripada lima individu terbabit iaitu seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.
Abdul Bari Asyraf yang dalam keadaan lemah sempat menghulurkan kanak-kanak terbabit kepada orang awam yang berada di jeti berhampiran pulau berkenaan sebelum tenggelam.

No comments