Custom Ads

Trending

Diskaun 20 peratus tambang KTM Komuter mulai 1 April


Diskaun 20 peratus tambang KTM Komuter mulai 1 April
Diskaun 20 peratus itu diberikan kepada semua penumpang KTM Komuter di lima jajaran. - BERNAMA/Fail
PUTRAJAYA: Mesyuarat Kabinet hari ini meluluskan cadangan pemberian diskaun 20 peratus bagi perkhidmatan KTM Komuter yang akan berkuat kuasa mulai 1 April ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemberian diskaun yang hanya ditawarkan kepada rakyat Malaysia ini bertujuan menambah jumlah penumpang pengangkutan awam kepada 120,000 orang sehari daripada 94,000 orang kini.

"Diskaun 20 peratus ini diberikan kepada semua penumpang KTM Komuter di lima jajaran.

"Di belah utara, ia ditawarkan di jajaran Padang Rengas ke Butterworth dan Butterworth ke Padang Besar.

"Di Lembah Klang, antara Port Klang ke Tanjung Malim dan Seremban ke Batu Caves. Di belah selatan, dari Sungai Gadut ke Tampin.

"Di Lembah Klang, ia merentasi Negeri Sembilan dan Selangor. Di utara, ia merentasi Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis," kata Loke dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet pada Rabu.

Ujarnya, diskaun ini akan diberikan untuk jangka masa setahun dan dasar ini akan dikaji semula setiap tahun.

Diskaun ini merupakan diskaun tambahan kepada penumpang yang menggunakan kaedah tanpa tunai iaitu kad KTM, MYKad dan Touch 'n Go yang sudah menikmati diskaun tambang tiket sebanyak 20 peratus.

"Ini merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan beban kos sara hidup kerana faktor kos pengangkutan adalah faktor yang ketiga tertinggi.

"Pemberian diskaun dijangkakan akan mengurangkan hasil KTM sebanyak RM43 juta.

"Oleh itu, pengurangan hasil ini akan ditampung oleh Perbadanan Aset Kereta Api (RAC)," kata Loke.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata penambahan bas pengantara (feeder bus) dari stesen bas ke stesen Aliran Transit Massa (MRT) masih dalam proses perancangan.

No comments