Custom Ads

Trending

Niat Tolong Kutip Bola, Bertukar Tragedi.

SHAH ALAM: Usaha seorang pemain bola sepak mengambil bola yang terjatuh ke dalam tasik di Eco Ardence, Setia Alam di sini, berakhir tragedi apabila dia ditemui lemas, awal pagi tadi.
Mayat mangsa, Khairul Anuar Hashim, 26, yang juga pemain kelab Sarban FC dijumpai anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor pada jam 2.35 pagi.





Khairul Anuar Hashim lemas di tasik Eco Ardence, Setia Alam malam tadi


Tasik yang dijadikan kawasan rekreasi penduduk sekitar itu berada berdekatan padang bola sepak dan pasukan disertai mangsa sedang mengadakan perlawanan persahabatan.
Seorang rakan Allahyarham yang enggan dikenali berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, Khairul Anuar dikatakan secara sukarela ingin turun ke dalam tasik berkenaan untuk mengambil bola yang berada pada jarak hampir 20 meter daripada tebing.
"Arwah dipercayai terus terjun ke dalam tasik berkenaan dan berada sangat hampir dengan bola itu sebelum dia secara tiba-tiba tenggelam.
"Pada waktu itu, dia yang memakai jersi merah terjun bersama but bolanya.
"Saya melihat dia seperti tiada masalah dan berenang dengan baik pada awalnya namun tidak sempat memegang bola itu lalu hilang daripada pandangan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Kejadian itu mencetuskan panik kepada pengunjung dan rakan-rakan mangsa yang menjerit dan cuba memberikan pertolongan namun keadaan tasik sedikit gelap menyukarkan mereka untuk menyelamatkannya.
Abang mangsa, Mohd Hakimi, 30, berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan daripada rakan anak kelima daripada enam beradik itu, kira-kira jam 11 malam.
"Pada waktu itu, saya berada di Kem Paya Jaras (Markas Angkatan Tentera Malaysia) dan terkejut dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.
"Adik saya yang masih bujang menuntut secara separuh masa dalam jurusan pentadbiran di Universiti Teknologi Mara (UiTM)," katanya yang berasal dari Kuala Klawang, Negeri Sembilan.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai JBPM negeri, Alimaddia Bukri, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.11 malam dan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Kota Anggerik dikejarkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat disertai seramai 35 anggota bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi mengesan mangsa.
"PPDA kemudian menemui mangsa di dasar tasik pada kedalaman kira-kira tiga meter dan jarak mangsa daripada tebing hampir 15 meter.
"Kesukaran misi menyelamat adalah cuaca agak gelap dan dasar tasik itu berselut lumpur namun mangsa berjaya juga ditemui," katanya.
Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.



Sementara itu turut dihujani ucapan Takziah dari rakan sepasukan dan orang ramai. 


No comments