Custom Ads

Trending

Yusri Che Lah dedah rahsia 13 tahun mengenai perpindahan RM1

 Sejak beberapa minggu kebelakangan ini kecoh mengenai isu tebus kontrak antara Akhyar Rashid dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) serta jumlah pampasan latihan perlu dibayar kepada KFA jika ada pasukan berminat mendapatkan khidmat pemain muda itu.
Sepertimana diketahui, Akhyar kini sudah disahkan sebagai ejen bebas setelah permohonan penamatan kontraknya diterima oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di mana dia boleh menebus kontraknya dengan bayaran RM210,000 kepada KFA.
Manakala pasukan yang berjaya menandatangani pemain itu perlu membayar RM75,000 jumlah pampasan latihan kepada KFA sepertimana ditetapkan FAM meskipun ianya dianggap KFA sebagai ‘penghinaan’ dan tidak setimpal dengan apa yang telah dilakukan mereka untuk melonjakkan karier pemain itu.
Sebenarnya ramai yang menyelar tindakan Akhyar yang ibarat sudah ‘kelabu mata’ setelah menerima tawaran lumayan dari sebuah pasukan lain sehinggakan ada yang meminta Kedah ‘mengajar’ pemain itu dengan meletakkan nilai pampasan hanya RM1 ke atas pemain itu.
Ia ibarat tindakan sama sepertimana Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) mengenakan bayaran perpindahan RM1 sahaja kepada MPPJ Selangor ketika pasukan itu mahu mendapatkan pemain bintang mereka, Yusri Che Lah pada hujung 2005.
Perlis ketika itu dilihat sengaja mahu memalukan Yusri selepas tuntutan mereka sebanyak RM100,000 kepada MPPJ dianggap keterlaluan. Justeru ramai yang mahu Kedah mengikut jejak Perlis itu dengan hanya mengenakan RM1 sebagai syarat melepaskan pemain itu daripada kontrak, malah ada yang lebih sarkastik memberi cadangan hanya 50 sen dikenakan.
Begitupun, menerusi pendedahan oleh Labola Malaya, Yusri Che Lah yang merupakan ‘subjek perpindahan RM1’ buat pertama kalinya mendedahkan, jumlah RM1 yang kononnya dikenakan bukanlah harga sebenar perpindahannya.
“Saya tidak pernah buka mulut mengenai perkara ini walaupun cerita RM1 sering dibangkitkan semula setiap kali timbul isu perpindahan pemain. Walaupun ketika itu saya malu dilabelkan sebagai pemain RM1 namun saya tidak membuat sebarang kenyataan bagi mengelak keadaan terus keruh antara saya dengan Perlis.
“Tapi sekarang biarlah saya dedahkan cerita yang betul kerana isu itu pun sudah menjadi sejarah. Sebenarnya, MPPJ membayar RM30,000 kepada Perlis untuk mendapatkan saya. Jadi, nilai sebenar saya bukanlah RM1 sebagaimana dihebohkan PFA melalui media,” dedah Yusri.
Malah, menurut Yusri, kesnya sangat berbeza jika dibandingkan dengan Akhyar kerana ketika itu dia sudah tidak mempunyai sebarang ikatan kontrak dengan Perlis dan sepatutnya boleh memilih untuk bermain dengan mana-mana pasukan tanpa sekatan.
“Tapi, tidak mengapalah, ketika itu saya redha walaupun kecewa dan yakin Allah sudah membalas rasa redha saya itu dengan apa yang saya nikmati sekarang,” kata Yusri yang kini menjadi jurulatih pasukan Liga Super Kuala Lumpur.
Selepas bermain dengan MPPJ selama semusim pada 2006, Yusri kembali menyarung jersi Perak pada 2007 dan mengakhiri kariernya sebagai pemain dengan kembali ke Perlis.
Dia menceburi bidang kejurulatihan pada 2015 dengan Perlis adalah pasukan pertama dibimbingnya.

Foto : Labola Malaya

No comments