Custom Ads

Trending

Pecah Tempurung Kepala. Bayi Sembilan Bulan Maut, Selepas Dua Hari Tenat, dipercayai didera secara fizikal dan seksual


BAYI perempuan berusia sembilan bulan maut, semalam, selepas dua hari dilaporkan tenat, dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuh.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima laporan oleh pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Serdang yang menerima bayi berkenaan sebagai pesakit 3.05 petang, Rabu lalu.
"Ketika dihantar ke hospital terbabit oleh ibu bapanya, mangsa dalam keadaan kritikal dan diberikan bantuan pernafasan. Pemeriksaan pihak hospital mendapati terdapat kesan koyakan baru pada himen dan dubur mangsa.
"Pihak hospital juga mengesahkan mangsa meninggal dunia 10.30 pagi semalam, selepas dua hari dirujuk ke Hospital Serdang. Laporan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kesan objek tumpul di kepala dengan tempurung kepala bayi terbabit pecah, selain kesan lebam pada bahagian atas kepala mangsa.
"Selain itu, terdapat juga kesan penderaan seksual terhadap bayi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di Kajang, hari ini.
Ahmad Dzaffir berkata, ibu bapa mangsa yang menetap di Bandar Baru Bangi, menghantar bayi itu ke rumah pengasuh di kawasan perumahan sama sejak September lalu.
"Ketika dihantar ke rumah pengasuh pada waktu pagi, mangsa dalam keadaan baik.
"Bagaimanapun, pada sebelah petang, ibunya mendapati mangsa sesak nafas dan dibawa ke Klinik Bandar Baru Bangi, sebelum diminta dirujuk ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut," katanya.
Beliau berkata, pihaknya menahan pengasuh dan suaminya masing-masing berusia 28 dan 36 tahun, kelmarin, untuk siasatan lanjut.
"Suami pengasuh yang bekerja sebagai penggunting rambut dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang semalam dan tempoh reman terhadap suspek dibenarkan selama lima hari sehingga 13 November ini.
"Ujian saringan air kencing dilakukan terhadap suspek didapati positif methaphetamine," katanya.
Sementara itu, pengasuh itu dibebaskan, semalam.
Katanya, kes itu pada awalnya diklasifikasikan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
"Namun, selepas mangsa meninggal dunia, kes itu diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Radzee Jamudi di talian 0196655811 bagi membantu siasatan," katanya.

Sumber: Harian Metro

No comments